Thursday, December 11, 2008

Kenapa Wujud Perbezaan Sikap Antara Aurat Dalam Solat dan Luar Solat

Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa semua orang tahu apa itu aurat dan manfaatnya dalam kehidupan. Tambahan pula persekitaran di rantau timur ini banyak membantu dalam penutupan aurat, tidak seperti keadaan di dunia barat yang ada bermazhab telanjang.
Tetapi, tidak keterlaluan juga jika diandaikan tak berapa ramai orang yang menghayati betul-betul konsep aurat seperti yang dikehendaki Islam. Antara tahu dan menghayati itu lain dan berbeza. Tidak semesti orang tahu itu beramal dan melaksanakan apa yang ia tahu. Kebanyakan tahap tahu itu pada tahap bermaklumat sahaja. Tetapi menghayati ini maknanya melaksanakan apa yang ia tahu dengan penuh jiwa, ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Sewaktu dia menutup aurat seperti bertudung misalnya, dia merasai kemanisannya yang terbit dari keluhuran iman. Dia akan bertudung dalam situasi manapun dan akan mempertahankannya, biar dicaci atau dipuji.
Rentetan itu timbullah pelbagai konflik dalam pelaksanaan aurat. Antara persoalan akhlak dalam isu aurat yang tidak disedari oleh kebanyakan kita ialah 'keprihatinan aurat'. Sungguh aneh, tetapi wajar direnungi bersama kenapa berlaku perbezaan sikap yang ketara dalam pemeliharan aurat ketika mendirikan solat dengan aurat ketika situasi di luar solat. Malah, sesetengahnya perbezaan itu berubah dari keelokkan seratus peratus, terbalik kepada seratus lapan puluh darjah pula.
Kenapakah ketika mengerjakan solat, terutama kaum wanita sangat cermat dan prihatin dengan penutupan aurat? Sedangkan di luar solat mereka tidak menutup aurat dengan sempurna. Semasa solat mereka menutup keseluruhan tubuh kecuali bahagian muka sahaja, walaupun mereka tahu kedua-dua telapak tangan hingga pergelangan tangan tidak aurat. Tudung dibuat lebar dan longgar, bersekali dengan baju seolah dua dalam satu, iaitu tudung dan baju kurung yang dibiarkan labuh sampai turun ke bahagian lutut. Manakala kain sarung pula sengaja di lebih-lebihkan dari keperluan ketinggian antara pinggang dengan kaki agar tidak ternampak telapak kaki ketika turun sujud yang boleh membatalkan solat.

Tetapi ketika luar solat dan selesai solat, mereka tidak bersikap cermat seperti mana yang ditunjukkan dalam solat tadi. Sesetengahnya berpakaian seperti tak cukup kain, singkat sampai menampakkan lengan, atau kaki. Ketat sampai menampakkan susuk badan, pinggang, punggung dan buah dada. Ada yang menanggalkan tudung terus. Ada pula yang bertudung seperti hidup segan mati tak mahu yang menampakkan rambut dan leher serta guntingan dada.
Kenapa hal ini berlaku kepada orang yang mendirikan solat ? Kenapa mereka tidak berfikir sedangkan mereka telah dididik dan diasuh dengan pengulangan solat sebanyak lima kali sehari? Berkemungkinan besar antara punca-puncanya ialah:

· Kurang penguasaan dan kefahaman ilmu-ilmu Islam yang mendalam dan menyeluruh, khususnya dalam ilmu-ilmu selain ibadat khusus. Kebanyakan umat Islam banyak menumpukan pembelajaran yang serius dalam soal taharah, wuduk dan solat. Adapun puasa, zakat dan haji dipelajari secara bermusim sahaja.

· Berlaku pemisahan secara tidak sedar antara ibadat khusus dan kehidupan seharian. Kebanyakan tingkah-laku masyarakat apabila dalam ibadat atau berada di masjid mereka boleh mengawal diri dan sedar sedang beribadat, sehingga jadi baik dan warak. Tetapi apabila selesai beribadat seperti solat atau di luar masjid mereka merasakan hubungan antara Allah s.w.t seakan-akan terputus. Keadaan ini mewujudkan jurang dan penghayatan aurat.

· Adat mengkhususkan pakaian solat. Masyarakat selain Melayu tidak tidak mengkhususkan pakaian solat. Mereka bersolat dengan pakaian harian mereka asalkan sahaja bersih. Tetapi, bebeza sekali di Asia Tenggara yang mengkhaskan pakaian untuk solat sejak turun-temurun. Adat ini asalnya baik dan terpuji, malah melambangkan masyarakat kita begitu prihatin. Mereka mahu yang bersih dan suci sahaja sewaktu mengadap Allah s.w.t. Tetapi dalam konteks yang lain, adat ini boleh membawa kerumitan dan salah faham dalam ibadat sehingga mereka merasakan pakaian solat dan pakaian harian itu semestinya berbeza. Lama kelamaan budaya ini telah mewujudkan pemisahan antara aurat dalam solat dan aurat ketika luar solat.

· Sikap ibu bapa mengasuh dan mendidik anak-anak secara longgar dan memandang mudah kewajiban aurat ketika ke luar rumah. Pembudayaan yang bermula sejak kecil ini telah membentuk idealogi dalam dirinya tentang perspektif aurat. Anak-anak itu telah mendewasakan dirinya dalam lingkungan yang tidak menitik beratkan aurat.

· Pemisahan peraturan aurat oleh pihak pemerintah. Di antara kesan besar kepada pendedahan aurat dan sukarnya menanganinya ialah peraturan-peraturan yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan seolah-oleh double standrad dan tidak menyeluruh. Contohnya di peringkat persekolahan, tidak semua sekolah mewajibkan pelajarnya bertudung. Jika sekolah mewajibkan pelajarnya bertudung, maka bertudunglah dia sewaktu ke sekolah, tetapi bagaimana pelajar itu di luar pagar sekolah. Tiada peraturan yang dikenakan atau mengawalnya. Kehidupan seumpama ini menimbulkan hipokrit dan mempersenda-senda agama. Malahan, akan mengelirukan remaja antara kebenaran dan kebatilan dan antara keseriusan dan main-main.

· Masyarakat turut membantu menimbulkan konflik ini. Masyarakat tidak serius dan betul-betul komitmen dengan penutupan aurat dengan sempurna. Mereka berani kelaur rumah dengan tanpa bertudung, atau memakai seluar yang ketat, atau baju berlengan pendek, atau baju tidak melepasi paras punggung dan bermacam gaya lagi. Lebih mengelirukan zaman mutkahir ini, perempuan yang bertudung, berseluar panjang ada yang ketat dan ada longgar, kemudian berbaju lengan pendek yang tidak menutup sampai ke pergelangan tangan. Kononnya gaya ini telah diiktiraf sebagai menutup aurat, lantas menjadi ikutan dan budaya masyarakat.

Enam sebab yang dibentangkan di atas merupakan jawapan kepada kenapa muslimah tidak berjaya menghayati falsafah menutup aurat dalam solat untuk turut diamalkan diluar solat. Bukanlah tulisan ini bermaksud supaya wanita keluar rumah memakai pakaian solatnya yang berwarna putih itu. Apa yang dikehendaki Islam ialah pendidikan solat itu adalah kegunaan harian kita. Sebagaimana tingkah-laku kita dalam solat, maka sewajarnya demikianlah perlakuan kita luar solat.
Al-Syarbini dari mazhab al-syafie telahpun menjalinkan hubungan menutup aurat dalam solat dengan luar solat dengan katanya; aurat itu ialah apa yang wajib ditutup dalam solat dan haram memandangnya. Justeru itu, kefahaman aurat itu hakikatnya berpandukan kepada kaedah-kaedah menutup aurat dalam solat. Jadi menutup aurat ketika solat itu sebenarnya pendidikan bagi menutup aurat luar solat.

Artikel ini telah disiarkan di dalam majalah Pengasuh Bil.603 oleh Mohd Azhar bin Abdullah(M.A Syariah, Uni. Malaya), Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS), Nilam Puri, Kelantan.

Tuesday, November 4, 2008

WANITA AHLI SYURGA

Syurga merupakan dambaan setiap insan. Di dalamnya terdapat bejana-bejana dari emas dan perak, istana yang megah dengan dihiasi beragam permata, dan berbagai macam kenikmatan lainnya yang tidak pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga, atau terdetik di hati.
Dalam Al Qur’an banyak sekali ayat-ayat yang menggambarkan kenikmatan-kenikmatan Syurga. Di antaranya Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :
Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!
(QS. Muhammad : 15)

Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, - Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (QS. Al Waqiah : 10-21)

Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
(QS. Al Waqiah : 22-23)


Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;
(QS. Ar Rahman : 56)

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.
(QS. Ar Rahman : 58)

Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu); [36]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [37]Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;
(QS. Al Waqiah : 35-37)


Saudariku sekalian, inginkah kalian menjadi bidadari syurga sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt tadi?

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam menggambarkan keutamaan-keutamaan wanita penduduk Syurga dalam sabda beliau :
“ … seandainya salah seorang wanita penduduk Syurga menengok penduduk bumi niscaya dia akan menyinari antara keduanya (penduduk Syurga dan penduduk bumi) dan akan memenuhinya bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita Syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya.” (HR. Bukhari dari Anas bin Malik radliyallahu 'anhu)

Dalam hadits lain Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda :
Sesungguhnya isteri-isteri penduduk Syurga akan memanggil suami-suami mereka dengan suara yang merdu yang tidak pernah didengarkan oleh seorangpun. Di antara yang didendangkan oleh mereka : “Kami adalah wanita-wanita pilihan yang terbaik. Isteri-isteri kaum yang termulia. Mereka memandang dengan mata yang menyejukkan.” Dan mereka juga mendendangkan : “Kami adalah wanita-wanita yang kekal, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita yang aman, tidak akan takut. Kami adalah wanita-wanita yang tinggal, tidak akan pergi.” (Shahih Al Jami’ nombor 1557)


Ciri-Ciri Wanita Syurga


Apakah hanya orang-orang beriman dari kalangan laki-laki dan bidadari-bidadari saja yang menjadi penduduk Syurga? Bagaimana dengan isteri-isteri kaum Mukminin di dunia, wanita-wanita penduduk bumi? Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, diciptakan syurga untuk sekalian hambanya. Maka, kaum wanita termasuklah hamba-hambanya yang dijanjikan syurga seandainya menjadi muslimah yang solehah.

Isteri-isteri kaum Mukminin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya akan tetap menjadi pendamping suami kelak di Syurga dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan yang diperoleh penduduk Syurga lainnya, sesuai dengan amalnya selama di dunia.
Pada hakikatnya wanita ahli Syurga adalah wanita yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Seluruh ciri-cirinya merupakan cerminan ketaatan yang dia miliki.

Di antara ciri-ciri wanita ahli Syurga menurut Syaikhul Islam Ibnu Tamiyyah dalam kitab karangannya Majmu’ Fatawa adalah sebagaimana yang berikut:
· Bertakwa.
· Beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk.
· Bersaksi bahwa tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadlan, dan naik haji bagi yang mampu.
· Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahwa Allah melihat dirinya.
· Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakkal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.
· Gemar membaca Al Qur’an dan berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah ketika bersendirian atau bersama banyak orang dan berdoa kepada Allah semata.
· Menghidupkan amar ma’ruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.
· Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternak yang dia miliki.
· Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.
· Berinfak, baik ketika lapang maupun dalam keadaan sempit, menahan amarah dan memaafkan manusia.
· Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.
· Menjaga lisannya dari perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).
· Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.
· Berbakti kepada kedua orang tua.
· Menyambung silaturahmi dengan kaum kerabatnya, sahabat terdekat dan terjauh.

Ciri-ciri tersebut bukan merupakan suatu batasan tetapi ciri-ciri wanita Ahli Syurga seluruhnya masuk dalam kerangka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah Ta’ala berfirman :
“ … dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.” (An Nisa’ : 13)

Wednesday, October 29, 2008

Ingin mengenali tokoh-tokoh Ulamak Melayu?

Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2)
Penyelengggara: Ismail Che Daud
RM40.00/ 688 muka surat

Sebagai lanjutan kepada jilid 1 yang memuat biografi singkat tokoh-tokoh ulama’ yang bergiat dan meninggal dunia sebelum merdeka (31 Ogos 1957), maka jilid 2 ini pun memaparkan biografi ringkas tokoh-tokoh ulama’, tetapi semuanya yang meninggal dunia selepas merdeka. Bagi maksud menggenapkan bilangan tokoh di dalam buku jilid 2 edisi kedua ini kepada 40 orang serta bagi menggantikan dua orang tokoh yang dimansuhkan, kami memasukkan sejumlah 9 orang tokoh baru. Mereka ialah: Haji Yahya Kupang, Haji Husain Che Dol, Hj Abdullah Abbas Nassution, Haji Pak Man Bukit Besar, Sheikh Idris al-Marbawi, Haji Abdul Wahid Sungai Udang, Haji Wan Ali Al-Jambui, Haji Ghazali Bagan Datok dan Haji Ibrahim Bongek. Seorang tokoh ulama, iaitu Drs. Ab Ghani Azmi Idris ditambah di bawah tajuk `Dalam Kenangan' menjadikan jumlahnya seramai 5 orang. Sebanyak empat lampiran dimuatkan dengan merangkumi tajuk-tajuk berikut:Ulama' Muhajirin di Kelantan, Ulama' Kelantan di Rantau Orang, Ulama' Terkemuka Dari Jajahan Pasir Mas dan Daftar Kematian Ulama' 1957-2000 yang dikemaskini.
Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1)
Penyelengggara: Ismail Che Daud
RM30.00/ 280 muka surat


Buku yang menjadi sumber rujukan penting mengenai tokoh-tokoh ulama’ Melayu ini seharusnya dimiliki oleh semua orang. Buku yang sederhana ini memuatkan sekumpulan makalah mengenai riwayat hidup tokoh-tokoh ulama’ Islam di Semenanjung Melayu yang diusahakan oleh beberapa orang penulis yang berminat dalam sejarah tempatan. Hanya tokoh-tokoh yang bergiat dan meninggal dunia sebelum 31 Disember 1957 sahaja yang dipilih untuk jilid yang pertama ini. Penyusunannya dibuat menurut kronologi kematian tokoh-tokoh utama. Pada asalnya, makalah-makalah ini merupakan makalah yang diterbitkan dalam majalah Pengasuh, kemudian dikompilasikan menjadi sebuah buku yang senang dirujuk. Sehingga kini, buku ini telah diterbitkan sebanyak tiga edisi yang sentiasa memuatkan pembetulan dan fakta-fakta tambahan.

Tercari-cari buku tulisan jawi?


Asas Aqidah Islam (Jawi)
Penyusun: Ustaz Abdul Aziz Omar bin Ahmad
RM15.00/ 280muka surat


Buku ini khusus membicarakan bidang aqidah, iaitu suatu bidang yang sangat pokok dan utama dalam kehidupan setiap individu muslim. Ia dihuraikan dalam bahasa yang mudah difahami serta maksud yang jelas. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan untuk pengajian di masjid-masjid, madrasah-madrasah, surau-surau dan musalla-musalla. Kandungan buku ini sengaja disusun dalam bentuk yang sederhana serta menggunakan kaedah pendekatan yang jelas bagi maksud memudahkan para pembaca mengkaji persoalan aqidah yang biasanya ditulis dalam bahasa Melayu klasik yang rumit serta sukar difahami. Ia patut dimiliki oleh setiap individu agar dapat menjadi panduan dalam memantapkan aqidah sebagai muslim.
Buku ni boleh didapati terus daripada Unit Penerbitan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) ataupun di Syarikat Jaafar Rawas KB.

Satu permulaan....

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

This is my first attempt to have a blog....actually, my husband yang beria-ria nak saya buat blog, saya plak tak pasti dapat manage ke tak...Tapi, rasanya perlu untuk mencuba...Ada masa, just jot down apa yang kita nak share.