Thursday, December 11, 2008

Kenapa Wujud Perbezaan Sikap Antara Aurat Dalam Solat dan Luar Solat

Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa semua orang tahu apa itu aurat dan manfaatnya dalam kehidupan. Tambahan pula persekitaran di rantau timur ini banyak membantu dalam penutupan aurat, tidak seperti keadaan di dunia barat yang ada bermazhab telanjang.
Tetapi, tidak keterlaluan juga jika diandaikan tak berapa ramai orang yang menghayati betul-betul konsep aurat seperti yang dikehendaki Islam. Antara tahu dan menghayati itu lain dan berbeza. Tidak semesti orang tahu itu beramal dan melaksanakan apa yang ia tahu. Kebanyakan tahap tahu itu pada tahap bermaklumat sahaja. Tetapi menghayati ini maknanya melaksanakan apa yang ia tahu dengan penuh jiwa, ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Sewaktu dia menutup aurat seperti bertudung misalnya, dia merasai kemanisannya yang terbit dari keluhuran iman. Dia akan bertudung dalam situasi manapun dan akan mempertahankannya, biar dicaci atau dipuji.
Rentetan itu timbullah pelbagai konflik dalam pelaksanaan aurat. Antara persoalan akhlak dalam isu aurat yang tidak disedari oleh kebanyakan kita ialah 'keprihatinan aurat'. Sungguh aneh, tetapi wajar direnungi bersama kenapa berlaku perbezaan sikap yang ketara dalam pemeliharan aurat ketika mendirikan solat dengan aurat ketika situasi di luar solat. Malah, sesetengahnya perbezaan itu berubah dari keelokkan seratus peratus, terbalik kepada seratus lapan puluh darjah pula.
Kenapakah ketika mengerjakan solat, terutama kaum wanita sangat cermat dan prihatin dengan penutupan aurat? Sedangkan di luar solat mereka tidak menutup aurat dengan sempurna. Semasa solat mereka menutup keseluruhan tubuh kecuali bahagian muka sahaja, walaupun mereka tahu kedua-dua telapak tangan hingga pergelangan tangan tidak aurat. Tudung dibuat lebar dan longgar, bersekali dengan baju seolah dua dalam satu, iaitu tudung dan baju kurung yang dibiarkan labuh sampai turun ke bahagian lutut. Manakala kain sarung pula sengaja di lebih-lebihkan dari keperluan ketinggian antara pinggang dengan kaki agar tidak ternampak telapak kaki ketika turun sujud yang boleh membatalkan solat.

Tetapi ketika luar solat dan selesai solat, mereka tidak bersikap cermat seperti mana yang ditunjukkan dalam solat tadi. Sesetengahnya berpakaian seperti tak cukup kain, singkat sampai menampakkan lengan, atau kaki. Ketat sampai menampakkan susuk badan, pinggang, punggung dan buah dada. Ada yang menanggalkan tudung terus. Ada pula yang bertudung seperti hidup segan mati tak mahu yang menampakkan rambut dan leher serta guntingan dada.
Kenapa hal ini berlaku kepada orang yang mendirikan solat ? Kenapa mereka tidak berfikir sedangkan mereka telah dididik dan diasuh dengan pengulangan solat sebanyak lima kali sehari? Berkemungkinan besar antara punca-puncanya ialah:

· Kurang penguasaan dan kefahaman ilmu-ilmu Islam yang mendalam dan menyeluruh, khususnya dalam ilmu-ilmu selain ibadat khusus. Kebanyakan umat Islam banyak menumpukan pembelajaran yang serius dalam soal taharah, wuduk dan solat. Adapun puasa, zakat dan haji dipelajari secara bermusim sahaja.

· Berlaku pemisahan secara tidak sedar antara ibadat khusus dan kehidupan seharian. Kebanyakan tingkah-laku masyarakat apabila dalam ibadat atau berada di masjid mereka boleh mengawal diri dan sedar sedang beribadat, sehingga jadi baik dan warak. Tetapi apabila selesai beribadat seperti solat atau di luar masjid mereka merasakan hubungan antara Allah s.w.t seakan-akan terputus. Keadaan ini mewujudkan jurang dan penghayatan aurat.

· Adat mengkhususkan pakaian solat. Masyarakat selain Melayu tidak tidak mengkhususkan pakaian solat. Mereka bersolat dengan pakaian harian mereka asalkan sahaja bersih. Tetapi, bebeza sekali di Asia Tenggara yang mengkhaskan pakaian untuk solat sejak turun-temurun. Adat ini asalnya baik dan terpuji, malah melambangkan masyarakat kita begitu prihatin. Mereka mahu yang bersih dan suci sahaja sewaktu mengadap Allah s.w.t. Tetapi dalam konteks yang lain, adat ini boleh membawa kerumitan dan salah faham dalam ibadat sehingga mereka merasakan pakaian solat dan pakaian harian itu semestinya berbeza. Lama kelamaan budaya ini telah mewujudkan pemisahan antara aurat dalam solat dan aurat ketika luar solat.

· Sikap ibu bapa mengasuh dan mendidik anak-anak secara longgar dan memandang mudah kewajiban aurat ketika ke luar rumah. Pembudayaan yang bermula sejak kecil ini telah membentuk idealogi dalam dirinya tentang perspektif aurat. Anak-anak itu telah mendewasakan dirinya dalam lingkungan yang tidak menitik beratkan aurat.

· Pemisahan peraturan aurat oleh pihak pemerintah. Di antara kesan besar kepada pendedahan aurat dan sukarnya menanganinya ialah peraturan-peraturan yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan seolah-oleh double standrad dan tidak menyeluruh. Contohnya di peringkat persekolahan, tidak semua sekolah mewajibkan pelajarnya bertudung. Jika sekolah mewajibkan pelajarnya bertudung, maka bertudunglah dia sewaktu ke sekolah, tetapi bagaimana pelajar itu di luar pagar sekolah. Tiada peraturan yang dikenakan atau mengawalnya. Kehidupan seumpama ini menimbulkan hipokrit dan mempersenda-senda agama. Malahan, akan mengelirukan remaja antara kebenaran dan kebatilan dan antara keseriusan dan main-main.

· Masyarakat turut membantu menimbulkan konflik ini. Masyarakat tidak serius dan betul-betul komitmen dengan penutupan aurat dengan sempurna. Mereka berani kelaur rumah dengan tanpa bertudung, atau memakai seluar yang ketat, atau baju berlengan pendek, atau baju tidak melepasi paras punggung dan bermacam gaya lagi. Lebih mengelirukan zaman mutkahir ini, perempuan yang bertudung, berseluar panjang ada yang ketat dan ada longgar, kemudian berbaju lengan pendek yang tidak menutup sampai ke pergelangan tangan. Kononnya gaya ini telah diiktiraf sebagai menutup aurat, lantas menjadi ikutan dan budaya masyarakat.

Enam sebab yang dibentangkan di atas merupakan jawapan kepada kenapa muslimah tidak berjaya menghayati falsafah menutup aurat dalam solat untuk turut diamalkan diluar solat. Bukanlah tulisan ini bermaksud supaya wanita keluar rumah memakai pakaian solatnya yang berwarna putih itu. Apa yang dikehendaki Islam ialah pendidikan solat itu adalah kegunaan harian kita. Sebagaimana tingkah-laku kita dalam solat, maka sewajarnya demikianlah perlakuan kita luar solat.
Al-Syarbini dari mazhab al-syafie telahpun menjalinkan hubungan menutup aurat dalam solat dengan luar solat dengan katanya; aurat itu ialah apa yang wajib ditutup dalam solat dan haram memandangnya. Justeru itu, kefahaman aurat itu hakikatnya berpandukan kepada kaedah-kaedah menutup aurat dalam solat. Jadi menutup aurat ketika solat itu sebenarnya pendidikan bagi menutup aurat luar solat.

Artikel ini telah disiarkan di dalam majalah Pengasuh Bil.603 oleh Mohd Azhar bin Abdullah(M.A Syariah, Uni. Malaya), Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS), Nilam Puri, Kelantan.