Gerhana matahari berlaku apabila cahaya matahari dihalangi oleh bulan yang berada di antara matahari dan bumi pada skala waktu tertentu dan penjajaran garisan kedudukan matahari, bulan dan bumi. Ini menyebabkan cahaya matahari secara perlahan-lahan menjadi gelap seolah-olah malam. Walaubagaimanapun, keadaan gelap itu sebenarnya merujuk kepada bayang-bayang bulan yang kelihatan di bumi. Umumnya, terdapat tiga jenis gerhana matahari iaitu gerhana penuh, gerhana separa dan gerhana annulus. Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana annulus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai 'corona'.
Ketika gerhana matahari, orang ramai dilarang melihat ke arah matahari secara langsung kerana ini boleh merosakkan mata dan mengakibatkan buta.
Fenomena Gerhana Matahari Di Zaman Rasulullah SAW
Kejadian gerhana matahari ini bukanlah kejadian baru dalam dunia hari ini. Malah ia pernah berlaku sebelum zaman Rasulullah lagi. Ia merupakan satu fenomena alam yang lazim terjadi di dunia. Pada zaman jahiliyyah, bulan dan matahari dianggap suatu kuasa agung yang disembah. Oleh kerana itu, mereka melihat fenomena ini sesuatu yang memberi petanda bahawa adanya kematian seseorang yang hebat pada waktu itu. Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan tanggapan bahawa gerhana matahari berlaku sewaktu kematian Ibrahim r.a, anak Nabi Muhammad sallallahu`alaihiwasallam. Namun, tanggapan ini disanggah sama sekali oleh Rasul sallallahu`alaihiwasallam. Baginda menegaskan:
“Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hamba-Nya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”.(Hadis riwayat Muslim)
Bersandarkan kepada hadis ini, umat Islam dituntut untuk mendirikan solat sunat kusuf (gerhana matahari) dari awal fenomena ini berlaku sehingga ia berakhir. Ia diikuti dengan khutbah solat sunat gerhana matahari sejurus selepas solat selesai dijalankan. Selain itu, sewaktu kejadian ini berlaku, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan doa, berselawat dan bersedekah. Menghayati kejadian ini sesungguhnya dapat mendekatkan kita dengan Allah dan mengimani kekuasaan-Nya yang Maha Agung.
Solat Sunat Gerhana Matahari
Hukum Solat Sunat Gerhana Matahari adalah sunat muakkad. Sekiranya berlalu gerhana tersebut maka solat ini tidak perlu digantikan. Solat ini boleh dilakukan samada secara berseorangan atau berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Kayfiyat solat sunat iniberdasarkan kepada sebuah hadis seperti berikut:
Maksud: Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, kemudian mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua). Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedanggerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia. Seraya berkata “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana”.
(Hadis riwayat Muslim)
Cara Solat Sunat Gerhana Matahari (Kusuf)
Niat :
أصلي سنة كسوف الشمس ركعتين مأموما لله تعالى
(Aku solat sunat Gerhana Matahari dua rakaat kerana Allah taala).
Tata cara sembahyang sunat gerhana ada tiga macam laitu:
1.Tata Cara yang Pertama
laitu yang sekurang-kurangnya bahawa disembahyang dua rakaat seperti dua rakaat sunat zohor dengan tiada ditambahkan ruku’ dan qiyam.
2.Tata Cara yang Kedua
1.Berniat di dalam hati
2.Takbiratul ihram iaitu bertakbir sebagaimana solat biasa.
3.Membaca do’a iftitah dan berta’awudz, kemudian membaca surah Al- Fatihah dan membaca surah yang pendek dengan bacaan secara perlahan.
4.Kemudian ruku’ sambil memanjangkannya.
Kemudian bangkit dari ruku’ (i’tidal) sambil mengucapkan
سمع الله لمن حمده ربنا ولك الحمد
6.Setelah i’tidal initidak terus sujud, namun dilanjutkan dengan membaca surah Al-Fatihah dan surah yang pendek. Berdiri yang kedua ini lebih singkat dari yang pertama.
7.Kemudian ruku’ kembali (ruku’ kedua) yang lebih pendek dari ruku’ sebelumnya.
8.Kemudian bangkit dari ruku’ (i’tidal).
9.Kemudian sujud, lalu duduk di antara dua Sujud kemudian sujud kembali.
10.Kemudian bangkit dari sujud lalu mengerjakan raka’at kedua sebagaimana raka’at pertama hanya saja bacaan dan gerakan-gerakannya lebih singkat dari sebelumnya.
11.Salam.
12.Setelah itu imam menyampaikan khutbah kepada para jama’ah yang berisi anjuran untuk berzikir, berdo’a, beristighfar, sedekah, dan membebaskan hamba. (Lihat Zaadul Ma’ad, Ibnul Qayyim, 349-356, Darul Fikr dan Shohih Fiqih Sunnah, 1/438)
3.TataCara yang Ketiga
1.Berniat di dalam hati
2.Takbiratul ihram iaitu bertakbir sebagaimana solat biasa.
3.Membaca do’a iftitah dan berta’awudz, kemudian membaca surah Al-Fatihah dan membaca surah yang panjang (seperti surah Al-Baqarah) sambil dijaharkan (dikeraskan suaranya, pada solat sunat gerhana bulan) sebagaimana terdapat dalam hadits Aisyah:
“Nabi SAW menjaharkan bacaannya ketika solat gerhana.”
(HR. Bukhani no. 1065 dan Muslim no. 901)
4.Kemudian ruku’ sambil memanjangkannya.
5.Kemudian bangkit dari ruku’ (i’tidal) sambil mengucapkan
سمع الله لمن حمده ربنا ولك الحمد
6.Setelah i’tidal ini tidak terus sujud, namun dilanjutkan dengan membaca surah Al-Fatihah dan surah yang panjang (surah Ali-Imran atau kira-kira dua ratus ayat daripada surah al-Baqarah). Berdiri yang kedua ini lebih singkat dari yang pertama.
7.Kemudian ruku’ kembali (ruku’ kedua) yang panjangnya lebih pendek dari ruku’ sebelumnya.
8.Kemudian bangkit dari ruku’ (i’tidal).
9.Kemudian sujud yang panjangnya sebagaimana ruku’, lalu duduk di antara dua sujud kemudian sujud kembali.
10.Kemudian bangkit dari sujud lalu mengerjakan raka’at kedua sebagaimana raka’at pertama hanya saja bacaan (iaitu pada qiyam yang ketiga dibaca kemudian daripada a’uzubillah dan Fatihah dan surah anNisa’ atau kira-kira 150 ayat daripada surah aI- Baqarah. Dan pada qiyam yang keempat dibaca kemudian daripada a’uzubillah dan Fatihah dan surah aI-Maidah atau kira-kira 100 ayat daripadanya. dan gerakan-gerakannya Iebih singkat dari sebelumnya.
11.Salam.
12.Setelah itu imam menyampaikan khutbah kepada para jama’ah yang berisi anjuran untuk berzikir, berdo’a, beristighfar, sedekah, dan membebaskan hamba.
(Lihat Zaadul Ma’ad, Ibnul Qayyim, 349-356, Darul Fikr dan Shohih Fiqih Sunnah, 1/438)
Sudi kiranya saya berkongsi sedikit peringatan daripada seorang sahabat mengenai batas-batas pergaulan di zaman ini.
Hari ini batas pergaulan berlainan gender bukan sahaja serius dari kalangan mereka2 yg jahil, tetapi mereka2 yg dikira faham, fakih, berilmu juga turut mengalami tsunami ini samada secara sedar mahupun tidak, secara sengaja mahu pun tidak sengaja atau seumpamanya.
Berikut adalah 5 tips bagaimana berurusan dengan lelaki ajnabi. Tips-tips ini telah dikongsi oleh seorang sahabat yang amat disegani oleh kaum lelaki dan kaum wanita. Semoga dengan mengamalkan perbatasan hubungan ini, akan lebih mensucikan hati kita dan hati mereka. Sama-samalah kita menjaga hati... 1. Elakkan berurusan dengan lelaki - Selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal seperti dalam hal repair kereta, repair laptop dan lain-lain. Disebabkan limitation kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki. 2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mail atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal,bukan bahasa pasar. Contoh :maaf(bukan sorrie..), terima kasih(bukan time kacih..). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =),gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah. Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan yang bernama lelaki. Buktinya sampai ALLAH sound kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk Quran,Surah Al-Ahzab, ayat 32 :"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik." Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih, kan ??? 3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.” 4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, "make eye contact with the person you’re talking to..". Ianya applicable kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar bisa berlaku. Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :"…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…". Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke.. Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalm kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, kenalah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contoh :"Wahai cik_____, tundukkanlah pandangan.." . Isk,isk..tak layaknya.. 5. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin applicable kepada students/orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak..tak perlu,TAK PERLU! Siapkan kerja cepat-cepat, then go. Discussion venue pula buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional. Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Semoga tidak melalaikan diri kita dan orang yang menerimanya. Jagalah diri, hiasi peribadi. Wassalam.
Pertama sekali kemaafan dipohon kerna lama sungguh tak update this blog...kerja bertimbun di ofis pada suku pertama tahun ini sehinggalah pertengahannya membataskan waktu untuk me'review' this blog..
Kali ini daku mencoret sempena menjelmanya Ramadan...dalam masa yang sama sedang sarat menunggu masa melahirkan cahaya mata kedua...
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله حبيب رب العالمين وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Marhaban ya Ramadan!
Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kurnia dan inayah-Nya, pada tahun ini, kita mampu menghadapiRamadan buat kali yang seterusnya.Jika kita renungi dan hayati, pelbagai rahsia mampu disingkap, pelbagai hikmah mampu diraih sepanjang bulan Ramadan.
Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: “Rasulullah SAW. bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (Sahih Muslim)
Puasa merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan. Maka tunaikanlah ia dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah SWT. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha memanfaatkan kelebihan dan keberkatan yang disediakan sepanjang bulan Ramadan ini. Moga kita tidak akan ketinggalan menerima ganjaran yang besar dari-Nya.
Pada bulan yang mulia ini, umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan bersandarkan dalil berikut:
Firman Allah dalam surah al-Baqarah; ayat 183:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”
عن ابن عمر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال "بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسَةٍ عَلَى اَنْ يُوَحَّدَ اللَّهُ وَاِقَامِ الصَّلاَةِ وَاِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَالْحَجِّ
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad SAW bersabda; “Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
APA ITU PUASA?
Puasa ialah menahan diri daripada makan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari disertai niat. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh.
Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan Ramadan.
Sempena dengan perintah berpuasa ini, maka masyarakat kita sering menyebutnya sebagai bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadan. Bulan Ramadan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang-gemilang.
BULAN AL-QURAN
Pada bulan ini, al-Quran diturunkan. Justeru itu, Ramadanadalah bulan al-Quran sebelum ia dipanggil bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan semata-matakerana puasa. Setiap tahun, umat Islam menyambut ketibaan hari Nuzul al-Quran, namun sejauh manakah penghayatan mengenai pengajaran al-Quran diamati dan diteladani. Adakah sekadar membacanya sahaja bagi mencukupkan bilangan khatam setiap tahun… atau sekadar merebut pahala semata-mata...
Firman Allah berbunyi:
Maksudnya:“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadanyang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.………………...”
(Surah al-Baqarah: Ayat 185)
Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah.
Maksudnya:“Sesungguhnya Kami telah menurunkan a l-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
(Surah ad-Dukhaan: Ayat 3)
Pada bulan yang mulia ini, al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah secara sekali gus dan seterusnya diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun. Allah dengan hikmat-Nya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya al-Quran sekali gus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasul-Nya secara berperingkat - peringkat ke dunia selama 23 tahun. Pada malam tersebut turunlah wahyu pertama kepada baginda seterusnya mengangkat darjat baginda sebagai Rasul utusan Allah yang terakhir di muka bumi ini.
LAILATUL QADAR
Dalam bulan Ramadan juga terdapatnya Lailatul Qadar yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. Inilah yang termaktub di dalam Al-Quran:
Maksudnya:“Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran ini pada Lailatul Qadar. Dan apakah kamu mengetahui apakah kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut, sejahteralah malam berkatitu hingga terbitfajar.”
(Al-Qadr: 1-5)]
Sebab Nuzul: Diriwayatkan daripada Ali bin Urwah, satu hari Rasulullah SAW telah menerangkan tentang kisah empat orangbani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah. Lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka, dalam pada itu Jibrail alaihissalam datang memberitahu Rasulullah SAW: Bahawa Allah SWT menurunkan perkara yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibrail pun membacakan surah al-Qadr.
Dari surah al-Qadr yang tersebut, dapatlah kita fahami: Bahawa besar kelebihan bagi orang yang beribadat pada malam Lailatul Qadar –amalan yang dikerjakan satu malam Lailatul Qadar digandakan ganjarannya lebih baik daripada amalan seribu bulan.
Tiada penetapan mengenaiwaktu “Lailatul Qadar”, justeru itu, kita digalakkan memperbanyakkan amalan pada akhir sepuluh Ramadan sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW.
عن عائشة رضي الله عنها قالت: "قال رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ابن نمير: "الْتَمِسُوا - وَقَالَ وَكِيعٌ - تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الاَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ"
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan.” (Sahih Muslim)
Kerana itulah junjungan besar nabi Muhammad SAWmenganjurkan agar umatnya mempertingkatkan melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan. Malahan baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-samanya untuk beribadat.
Pada malam tersebut, para malaikat diarah turun berbondongan meraikannya diketuai Jibrail alaihissalam. Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar – besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis di alam azali yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.
BULAN MENDAPATKAN SYURGA
Allah SWT telah memberi peluang yang begitu baik sekali kepada hamba-hamba-Nya pada bulan ini. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu sebagaimana hadis berikut:
عن أبي هريرة رضي الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: "إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ"
Hadis riwayat Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW.. bersabda: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (Sahih Muslim)
Dengan demikian, seyogialah kita memohon mendapatkan syurga-Nya serta memohon dijauhkan serta diselamatkan daripada azab api neraka sepanjang bulan berkat ini.
Namun, realiti yang berlaku, kita menyaksikan sebahagian umat Islam yang berpuasa masih ada yang melakukan maksiat di dalam bulan Ramadan, bukan sekadar itu, bahkan berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadan. Jika begitu keadaannya, apakah maksud hadis Nabi SAW yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadan?
Terdapat pelbagai pendapat mengenai hal ini. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang mukmin yang menyibukkan diri dengan berpuasa dan berzikir kepada Allah SWT. Pada ketika inilah umat Islam dapat membentuk peribadi yang mulia dengan berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.
BULAN PENGAMPUNAN
Bagi orang Islam yang benar-benar beriman kepada Allah, kehadiran Ramadan amat-amat dinantikan kerana mereka meyakini kelebihan yang ada di bulan Ramadan. Antaranya ialah, ia bulan pengampunan berdasarkan hadis berikut:
عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:"مَن قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِهِ"
DariAbu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al-Bukhari)
Sepatutnya bulan Ramadan dirai bagai Pesta Ibadah. Namun, di sesetengah tempat, bulan ini menjadi pesta berjual beli serta pesta makan-makan. Dalam al-Quran banyak dianjurkan kepada para hamba sekalian bangun bertahajud di sepertiga malam sebagaimana firman Allah:
Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
(Surah Al-Isra’: Ayat 79)
Sesungguhnya Qiamullail menjadi amalan Nabi SAW dan para sahabat. Aisyah berkata: “Janganlah kamu tinggalkan qiamullail kerana sesungguhnya Rasulullah tidak meninggalkannya, jika baginda sakit atau terasa malas, baginda melakukannya dengan duduk.”
عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : "يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَىكُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ. فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ!وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ! وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ"
Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tuhan kita Yang Maha Suci lagi Maha Luhur setiap malam turun ke langit dunia ketika malam tinggal sepertiga terakhir. Dia berfirman: Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan kabulkan permohonannya. Dan barang siapa yang memohon ampunan kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya.” (Sahih Muslim)
Justeru itu, rebutlah peluang sepertiga malam untuk bermunajat kepada-Nya serta memohon apa-apa jua hajat yang diingini. Pada ketika inilah hati kita tenang dan khusyuk untuk memohon keampunan daripada-Nya.
PAHALA UMRAH SAMA DENGAN HAJI
Melaksanakan umrah di dalam bulan Ramadan bersamaan dengan pahala mengerjakan haji. Berdasarkan hadis riwayat Muslim:
عن ابن جريج قال أخبرني عطاء قال سمعت ابن عباس يحدثنا قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لامرأة من الأنصارسماها ابن عباس فنسيت اسمها: "مَا مَنَعَكِ أَنْ تَحُجِّي مَعَنَا? قَالَتْ لَمْ يَكُنْ لَنَا إِلاَّ نَاضِحَانِ فَحَجَّ أَبُو وَلَدِهَا وَابْنُهَا عَلَى نَاضِحٍ وَتَرَكَ لَنَا نَاضِحًا نَنْضِحُ عَلَيْهِ قَالَ، فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً"
Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.: Dari Atha, dari Ibnu Abbas, ia berkata, “Rasulullah SAW. bertanya kepada seorang wanita dari Ansar, di mana Ibnu Abbas pernah menyebutkan namanya, kemudian lupa, kata beliau: Apa yang menghalangi engkau pergi haji bersama kami? Wanita itu menjawab: Tidak ada yang menghalangiku, kecuali kerana dua unta kami. Suami dan anaknya pergi haji dengan mengenderai seekor unta dan yang seekor lagi ditinggal untuk diurus, maka aku mengurus unta itu. Beliau lalu bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka berumrahlah engkau, sesungguhnya umrah pada bulan tersebut (pahalanya) sebanding dengan (pahala) haji.” (Sahih Muslim)
Masyarakat yang berkemampuan pada hari ini semakin ramai berebut menunaikan umrah di bulan puasa sehinggakan pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan hampir sama harganya dengan pakej pelaksanaan haji. Institusi-institusi pengajian tinggi di timur tengah kebanyakannya ditutup bagi meraikan Ramadan sebagai bulan ibadah.
Justeru itu, kesempatan menunaikan umrah pada bulan Ramadan merupakan peluang yang sepatutnya direbut oleh golongan yang mampu. Pahala menunaikan umrah pada bulan tersebut bersamaan pahala haji; betapa besarnya nikmat yang dikurniakan Allah untuk hamba-hamba-Nya.
RAMADAN: MADRASAH TARBIYAH DIRI
Pada bulan Ramadan, kewajipan berpuasa menjadi perisai kepada umat Islam dalam menghadapi tuntutan hawa nafsu. Kita berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hamba-Nya. Ia melatih jiwa kita supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang susah dan menderita serta bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad dengki.
Selain itu, puasa juga melatih diri supaya bersifat sabar dan tabah menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup. Menanamkan semangat sama rata dan menjauhkan sifat membeza-bezakan di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung perintah Allah.
Sepanjang Ramadan, kita diajar menahan diri daripada makan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sekali gus latihan ini mampu menjadikan umat Islam umat yang berdisiplin dan betah menghadapi ujian.
RAMADAN: BULAN UNTUK BERSEDEKAH
Amalan sedekah merupakan amalan yang dapat menyucikan harta benda kita daripada perkara syubhah. Setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita hanyalah pinjaman semata-mata, terserah kepada kita bagaimana kita memanfaatkan rezeki yang dikurniakan.
عن ابن عباس قال: "كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ اَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ اِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْقُرْانَ فَاِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ."
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: “Rasulullah S.A.W.adalah seorang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Malaikat Jibrail a.s telah bertemu dengan baginda setiap tahun pada bulan Ramadan sehingga berakhir Ramadan. Rasulullah SAWmembaca Al-Quran di hadapannya. Apabila Rasulullah SAWbertemu dengan Malaikat Jibrail, maka baginda adalah orang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan melebihi angin kencang yang diutus.” (Sahih Muslim)
Hadis tersebut menceritakan bahawa Rasulullah SAW melebihkan sedekah di bulan Ramadan.Ini kerana ganjaran pahala lebih besar di bulan ini.Maka bersedekahlah ketika kita masih mampu melakukannya walaupun hanya dengan sebiji tamar.
Dalam hadis lain:
حارثة بن وهب يقول: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: "تَصَدَّقُوا فَيُوشِكُ الرَّجُلُ يَمْشِي بِصَدَقَتِهِ فَيَقُولُ الَّذِي أُعْطِيَهَا لَوْ جِئْتَنَا بِهَا بِالأَمْسِ قَبِلْتُهَا فَأَمَّا الآنَ فَلاَ حَاجَةَ لِي بِهَا . فَلاَ يَجِدُ مَنْ يَقْبَلُهَا "
Hadis Harithah bin Wahab r.a katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W.bersabda: Bersedekahlah kamu sekalian kerana sudah semakin hampir waktunya seorang lelaki berjalan membawa barang yang ingin disedekahkannya. Lalu orang yang ingin diberikan sedekah berkata: Seandainya engkau membawa sedekahmu kepadaku kelmarin, tentu aku menerimanya. Adapun sekarang ini aku tidak lagi memerlukannya. Sehingga akhirnya lelaki itu tidak juga bertemu orang yang ingin menerima sedekahnya.” (Sahih Muslim)
Daripada kedua-dua hadis tersebut, dapat disimpulkan bahawa Rasulullah begitu menganjurkan umatnya bersedekah sedaya mampu.
Sesungguhnya kaum salafussoleh begitu menjaga bab memberi makan, mereka mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain sama ada dengan memberi minum bagi yang dahaga atau memberi makan bagi yang lapar, dan tidak dihadkan kepada yang fakir sahaja.
PENUTUP
Dengan ini diharapkan kita semua mampu meraih hikmah dan kelebihan-kelebihan yang ada di bulan barakah ini. Ambillah peluang yang ada untuk membentuk diri menjadi mukmin sejati. Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh...insyaAllah.