Thursday, December 17, 2009

TIPS MUSLIMAH BERURUSAN DENGAN LELAKI AJNABI

Sudi kiranya saya berkongsi sedikit peringatan daripada seorang sahabat mengenai batas-batas pergaulan di zaman ini.

Hari ini batas pergaulan berlainan gender bukan sahaja serius dari kalangan mereka2 yg jahil, tetapi mereka2 yg dikira faham, fakih, berilmu juga turut mengalami tsunami ini samada secara sedar mahupun tidak, secara sengaja mahu pun tidak sengaja atau seumpamanya.

Berikut adalah 5 tips bagaimana berurusan dengan lelaki ajnabi. Tips-tips ini telah dikongsi oleh seorang sahabat yang amat disegani oleh kaum lelaki dan kaum wanita. Semoga dengan mengamalkan perbatasan hubungan ini, akan lebih mensucikan hati kita dan hati mereka. Sama-samalah kita menjaga hati...
1. Elakkan berurusan dengan lelaki - Selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal seperti dalam hal repair kereta, repair laptop dan lain-lain. Disebabkan limitation kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki.
2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mail atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal,bukan bahasa pasar. Contoh :maaf(bukan sorrie..), terima kasih(bukan time kacih..). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =),gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.
Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan yang bernama lelaki. Buktinya sampai ALLAH sound kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk Quran,Surah Al-Ahzab, ayat 32 :"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik." Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih, kan ???
3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”
4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, "make eye contact with the person you’re talking to..". Ianya applicable kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar bisa berlaku.
Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :"…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…". Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke..
Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalm kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, kenalah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contoh :"Wahai cik_____, tundukkanlah pandangan.." . Isk,isk..tak layaknya..
5. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin applicable kepada students/orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak..tak perlu,TAK PERLU! Siapkan kerja cepat-cepat, then go.
Discussion venue pula buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional. Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Semoga tidak melalaikan diri kita dan orang yang menerimanya. Jagalah diri, hiasi peribadi.
Wassalam.

Wednesday, August 12, 2009

Ramadan datang lagi...

Pertama sekali kemaafan dipohon kerna lama sungguh tak update this blog...kerja bertimbun di ofis pada suku pertama tahun ini sehinggalah pertengahannya membataskan waktu untuk me'review' this blog..

Kali ini daku mencoret sempena menjelmanya Ramadan...dalam masa yang sama sedang sarat menunggu masa melahirkan cahaya mata kedua...

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسول الله حبيب رب العالمين وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Marhaban ya Ramadan!

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kurnia dan inayah-Nya, pada tahun ini, kita mampu menghadapi Ramadan buat kali yang seterusnya. Jika kita renungi dan hayati, pelbagai rahsia mampu disingkap, pelbagai hikmah mampu diraih sepanjang bulan Ramadan.

Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a katanya: “Rasulullah SAW. bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (Sahih Muslim)

Puasa merupakan rukun Islam yang wajib ditunaikan. Maka tunaikanlah ia dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah SWT. Oleh itu, sama-samalah kita berusaha memanfaatkan kelebihan dan keberkatan yang disediakan sepanjang bulan Ramadan ini. Moga kita tidak akan ketinggalan menerima ganjaran yang besar dari-Nya.

Pada bulan yang mulia ini, umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan bersandarkan dalil berikut:

Firman Allah dalam surah al-Baqarah; ayat 183:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.”

عن ‏‏ابن عمر ‏عن النبي ‏‏صلى الله عليه وسلم ‏قال "بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسَةٍ عَلَى اَنْ يُوَحَّدَ اللَّهُ وَاِقَامِ الصَّلاَةِ وَاِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَالْحَجِّ

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad SAW bersabda; “Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan haji.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


APA ITU PUASA?

Puasa ialah menahan diri daripada makan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari disertai niat. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh.

Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan Ramadan.

Sempena dengan perintah berpuasa ini, maka masyarakat kita sering menyebutnya sebagai bulan puasa. Hakikatnya, ia telah mengurangkan kekuatan penghayatan terhadap bulan Ramadan. Bulan Ramadan bukan sekadar bulan puasa, bahkan ia adalah bulan yang penuh kelebihan yang sungguh gilang-gemilang.

BULAN AL-QURAN

Pada bulan ini, al-Quran diturunkan. Justeru itu, Ramadan adalah bulan al-Quran sebelum ia dipanggil bulan puasa. Ia mahal kerananya, bukan semata-mata kerana puasa. Setiap tahun, umat Islam menyambut ketibaan hari Nuzul al-Quran, namun sejauh manakah penghayatan mengenai pengajaran al-Quran diamati dan diteladani. Adakah sekadar membacanya sahaja bagi mencukupkan bilangan khatam setiap tahun… atau sekadar merebut pahala semata-mata...

Firman Allah berbunyi:

Maksudnya:“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.………………...”

(Surah al-Baqarah: Ayat 185)

Ia berlaku pada salah satu malamnya yang penuh gemilang. Allah menamakannya bulan yang penuh barakah.

Maksudnya:“Sesungguhnya Kami telah menurunkan a l-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”

(Surah ad-Dukhaan: Ayat 3)

Pada bulan yang mulia ini, al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah secara sekali gus dan seterusnya diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun. Allah dengan hikmat-Nya yang maha agung mengarahkan perkenan turunnya al-Quran sekali gus 30 juzuk ke lapis langit dunia sebagai persiapan terakhir sebelum diturunkan kepada rasul-Nya secara berperingkat - peringkat ke dunia selama 23 tahun. Pada malam tersebut turunlah wahyu pertama kepada baginda seterusnya mengangkat darjat baginda sebagai Rasul utusan Allah yang terakhir di muka bumi ini.

LAILATUL QADAR

Dalam bulan Ramadan juga terdapatnya Lailatul Qadar yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. Inilah yang termaktub di dalam Al-Quran:

Maksudnya:“Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran ini pada Lailatul Qadar. Dan apakah kamu mengetahui apakah kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut, sejahteralah malam berkat itu hingga terbit fajar.”

(Al-Qadr: 1-5)]


Sebab Nuzul: Diriwayatkan daripada Ali bin Urwah, satu hari Rasulullah SAW telah menerangkan tentang kisah empat orang bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah. Lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka, dalam pada itu Jibrail
alaihissalam datang memberitahu Rasulullah SAW: Bahawa Allah SWT menurunkan perkara yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibrail pun membacakan surah al-Qadr.

Dari surah al-Qadr yang tersebut, dapatlah kita fahami: Bahawa besar kelebihan bagi orang yang beribadat pada malam Lailatul Qadar –amalan yang dikerjakan satu malam Lailatul Qadar digandakan ganjarannya lebih baik daripada amalan seribu bulan.

Tiada penetapan mengenai waktu “Lailatul Qadar”, justeru itu, kita digalakkan memperbanyakkan amalan pada akhir sepuluh Ramadan sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah SAW.

عن ‏‏عائشة ‏رضي الله عنها قالت: "‏قال رسول الله ‏‏صلى الله عليه وسلم ‏‏قال ‏ابن نمير: ‏‏"الْتَمِسُوا - وَقَالَ وَكِيعٌ - تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الاَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ"

Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan.” (Sahih Muslim)

Kerana itulah junjungan besar nabi Muhammad SAW menganjurkan agar umatnya mempertingkatkan melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan. Malahan baginda menyuruh ahli keluarganya bangun bersama-samanya untuk beribadat.

Pada malam tersebut, para malaikat diarah turun berbondongan meraikannya diketuai Jibrail alaihissalam. Ia malam dihuraikan, diputuskan dan ditentukan segala perkara yang besar – besar. Ia malam ditulis dan ditentukan kejadian dalam setahun, menepati segala yang tertulis di alam azali yang pertama. Ia malam yang lebih baik dari seribu bulan.

BULAN MENDAPATKAN SYURGA

Allah SWT telah memberi peluang yang begitu baik sekali kepada hamba-hamba-Nya pada bulan ini. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu sebagaimana hadis berikut:

عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏رضي الله عنه: ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال: "إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ "

Hadis riwayat Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW.. bersabda: “Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (Sahih Muslim)

Dengan demikian, seyogialah kita memohon mendapatkan syurga-Nya serta memohon dijauhkan serta diselamatkan daripada azab api neraka sepanjang bulan berkat ini.

Namun, realiti yang berlaku, kita menyaksikan sebahagian umat Islam yang berpuasa masih ada yang melakukan maksiat di dalam bulan Ramadan, bukan sekadar itu, bahkan berlaku juga rasukan jin dan syaitan di dalam bulan Ramadan. Jika begitu keadaannya, apakah maksud hadis Nabi SAW yang menyatakan syaitan itu dirantai dan dibelenggu dalam bulan Ramadan?

Terdapat pelbagai pendapat mengenai hal ini. Secara ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang mukmin yang menyibukkan diri dengan berpuasa dan berzikir kepada Allah SWT. Pada ketika inilah umat Islam dapat membentuk peribadi yang mulia dengan berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.



BULAN PENGAMPUNAN

Bagi orang Islam yang benar-benar beriman kepada Allah, kehadiran Ramadan amat-amat dinantikan kerana mereka meyakini kelebihan yang ada di bulan Ramadan. Antaranya ialah, ia bulan pengampunan berdasarkan hadis berikut:

عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال:"مَن قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِهِ"

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu”. (Riwayat al-Bukhari)

Sepatutnya bulan Ramadan dirai bagai Pesta Ibadah. Namun, di sesetengah tempat, bulan ini menjadi pesta berjual beli serta pesta makan-makan. Dalam al-Quran banyak dianjurkan kepada para hamba sekalian bangun bertahajud di sepertiga malam sebagaimana firman Allah:

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah Al-Isra’: Ayat 79)

Sesungguhnya Qiamullail menjadi amalan Nabi SAW dan para sahabat. Aisyah berkata: “Janganlah kamu tinggalkan qiamullail kerana sesungguhnya Rasulullah tidak meninggalkannya, jika baginda sakit atau terasa malas, baginda melakukannya dengan duduk.”

عن ‏ ‏أبي هريرة: ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال : "يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِيْنَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ. فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيْبَ لَهُ! وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ! وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ"

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tuhan kita Yang Maha Suci lagi Maha Luhur setiap malam turun ke langit dunia ketika malam tinggal sepertiga terakhir. Dia berfirman: Barang siapa yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan kabulkan permohonannya. Dan barang siapa yang memohon ampunan kepada-Ku, maka Aku akan mengampuninya.” (Sahih Muslim)

Justeru itu, rebutlah peluang sepertiga malam untuk bermunajat kepada-Nya serta memohon apa-apa jua hajat yang diingini. Pada ketika inilah hati kita tenang dan khusyuk untuk memohon keampunan daripada-Nya.

PAHALA UMRAH SAMA DENGAN HAJI

Melaksanakan umrah di dalam bulan Ramadan bersamaan dengan pahala mengerjakan haji. Berdasarkan hadis riwayat Muslim:

عن ‏‏ابن جريج ‏قال أخبرني ‏عطاء ‏‏قال سمعت ‏ابن عباس ‏‏يحدثنا قال:‏قال رسول الله صلى الله عليه وسلم لامرأة ‏من ‏‏الأنصار‏‏سماها ‏‏ابن عباس فنسيت اسمها: "‏مَا مَنَعَكِ أَنْ تَحُجِّي مَعَنَا?‏ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ لَنَا إِلاَّ نَاضِحَانِ فَحَجَّ أَبُو وَلَدِهَا وَابْنُهَا عَلَى نَاضِحٍ وَتَرَكَ لَنَا نَاضِحًا نَنْضِحُ عَلَيْهِ قَالَ،‏ فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً"

Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.: Dari Atha, dari Ibnu Abbas, ia berkata, “Rasulullah SAW. bertanya kepada seorang wanita dari Ansar, di mana Ibnu Abbas pernah menyebutkan namanya, kemudian lupa, kata beliau: Apa yang menghalangi engkau pergi haji bersama kami? Wanita itu menjawab: Tidak ada yang menghalangiku, kecuali kerana dua unta kami. Suami dan anaknya pergi haji dengan mengenderai seekor unta dan yang seekor lagi ditinggal untuk diurus, maka aku mengurus unta itu. Beliau lalu bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka berumrahlah engkau, sesungguhnya umrah pada bulan tersebut (pahalanya) sebanding dengan (pahala) haji.” (Sahih Muslim)

Masyarakat yang berkemampuan pada hari ini semakin ramai berebut menunaikan umrah di bulan puasa sehinggakan pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan hampir sama harganya dengan pakej pelaksanaan haji. Institusi-institusi pengajian tinggi di timur tengah kebanyakannya ditutup bagi meraikan Ramadan sebagai bulan ibadah.

Justeru itu, kesempatan menunaikan umrah pada bulan Ramadan merupakan peluang yang sepatutnya direbut oleh golongan yang mampu. Pahala menunaikan umrah pada bulan tersebut bersamaan pahala haji; betapa besarnya nikmat yang dikurniakan Allah untuk hamba-hamba-Nya.

RAMADAN: MADRASAH TARBIYAH DIRI

Pada bulan Ramadan, kewajipan berpuasa menjadi perisai kepada umat Islam dalam menghadapi tuntutan hawa nafsu. Kita berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hamba-Nya. Ia melatih jiwa kita supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang susah dan menderita serta bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad dengki.

Selain itu, puasa juga melatih diri supaya bersifat sabar dan tabah menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup. Menanamkan semangat sama rata dan menjauhkan sifat membeza-bezakan di antara kaya miskin, hina mulia, raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung perintah Allah.

Sepanjang Ramadan, kita diajar menahan diri daripada makan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Sekali gus latihan ini mampu menjadikan umat Islam umat yang berdisiplin dan betah menghadapi ujian.

RAMADAN: BULAN UNTUK BERSEDEKAH

Amalan sedekah merupakan amalan yang dapat menyucikan harta benda kita daripada perkara syubhah. Setiap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita hanyalah pinjaman semata-mata, terserah kepada kita bagaimana kita memanfaatkan rezeki yang dikurniakan.

‏‏عن ‏ ‏ابن عباس ‏ ‏قال: ‏"كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ اَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ اِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْقُرْانَ فَاِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ."

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: “Rasulullah S.A.W.adalah seorang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Malaikat Jibrail a.s telah bertemu dengan baginda setiap tahun pada bulan Ramadan sehingga berakhir Ramadan. Rasulullah SAW membaca Al-Quran di hadapannya. Apabila Rasulullah SAW bertemu dengan Malaikat Jibrail, maka baginda adalah orang yang paling dermawan dalam hal-hal kebaikan melebihi angin kencang yang diutus.” (Sahih Muslim)

Hadis tersebut menceritakan bahawa Rasulullah SAW melebihkan sedekah di bulan Ramadan. Ini kerana ganjaran pahala lebih besar di bulan ini. Maka bersedekahlah ketika kita masih mampu melakukannya walaupun hanya dengan sebiji tamar.

Dalam hadis lain:

حارثة بن وهب ‏ ‏يقول: ‏سمعت رسول الله ‏صلى الله عليه وسلم ‏يقول: "‏تَصَدَّقُوا فَيُوشِكُ الرَّجُلُ يَمْشِي بِصَدَقَتِهِ فَيَقُولُ الَّذِي أُعْطِيَهَا لَوْ جِئْتَنَا بِهَا بِالأَمْسِ قَبِلْتُهَا فَأَمَّا الآنَ فَلاَ حَاجَةَ لِي بِهَا ‏.‏ فَلاَ يَجِدُ مَنْ يَقْبَلُهَا ‏"‏

Hadis Harithah bin Wahab r.a katanya: “Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: Bersedekahlah kamu sekalian kerana sudah semakin hampir waktunya seorang lelaki berjalan membawa barang yang ingin disedekahkannya. Lalu orang yang ingin diberikan sedekah berkata: Seandainya engkau membawa sedekahmu kepadaku kelmarin, tentu aku menerimanya. Adapun sekarang ini aku tidak lagi memerlukannya. Sehingga akhirnya lelaki itu tidak juga bertemu orang yang ingin menerima sedekahnya.” (Sahih Muslim)

Daripada kedua-dua hadis tersebut, dapat disimpulkan bahawa Rasulullah begitu menganjurkan umatnya bersedekah sedaya mampu.

Sesungguhnya kaum salafussoleh begitu menjaga bab memberi makan, mereka mendahulukannya daripada ibadat-ibadat lain sama ada dengan memberi minum bagi yang dahaga atau memberi makan bagi yang lapar, dan tidak dihadkan kepada yang fakir sahaja.

PENUTUP

Dengan ini diharapkan kita semua mampu meraih hikmah dan kelebihan-kelebihan yang ada di bulan barakah ini. Ambillah peluang yang ada untuk membentuk diri menjadi mukmin sejati. Semoga amalan kita semua diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh...insyaAllah.

Thursday, December 11, 2008

Kenapa Wujud Perbezaan Sikap Antara Aurat Dalam Solat dan Luar Solat

Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa semua orang tahu apa itu aurat dan manfaatnya dalam kehidupan. Tambahan pula persekitaran di rantau timur ini banyak membantu dalam penutupan aurat, tidak seperti keadaan di dunia barat yang ada bermazhab telanjang.
Tetapi, tidak keterlaluan juga jika diandaikan tak berapa ramai orang yang menghayati betul-betul konsep aurat seperti yang dikehendaki Islam. Antara tahu dan menghayati itu lain dan berbeza. Tidak semesti orang tahu itu beramal dan melaksanakan apa yang ia tahu. Kebanyakan tahap tahu itu pada tahap bermaklumat sahaja. Tetapi menghayati ini maknanya melaksanakan apa yang ia tahu dengan penuh jiwa, ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. Sewaktu dia menutup aurat seperti bertudung misalnya, dia merasai kemanisannya yang terbit dari keluhuran iman. Dia akan bertudung dalam situasi manapun dan akan mempertahankannya, biar dicaci atau dipuji.
Rentetan itu timbullah pelbagai konflik dalam pelaksanaan aurat. Antara persoalan akhlak dalam isu aurat yang tidak disedari oleh kebanyakan kita ialah 'keprihatinan aurat'. Sungguh aneh, tetapi wajar direnungi bersama kenapa berlaku perbezaan sikap yang ketara dalam pemeliharan aurat ketika mendirikan solat dengan aurat ketika situasi di luar solat. Malah, sesetengahnya perbezaan itu berubah dari keelokkan seratus peratus, terbalik kepada seratus lapan puluh darjah pula.
Kenapakah ketika mengerjakan solat, terutama kaum wanita sangat cermat dan prihatin dengan penutupan aurat? Sedangkan di luar solat mereka tidak menutup aurat dengan sempurna. Semasa solat mereka menutup keseluruhan tubuh kecuali bahagian muka sahaja, walaupun mereka tahu kedua-dua telapak tangan hingga pergelangan tangan tidak aurat. Tudung dibuat lebar dan longgar, bersekali dengan baju seolah dua dalam satu, iaitu tudung dan baju kurung yang dibiarkan labuh sampai turun ke bahagian lutut. Manakala kain sarung pula sengaja di lebih-lebihkan dari keperluan ketinggian antara pinggang dengan kaki agar tidak ternampak telapak kaki ketika turun sujud yang boleh membatalkan solat.

Tetapi ketika luar solat dan selesai solat, mereka tidak bersikap cermat seperti mana yang ditunjukkan dalam solat tadi. Sesetengahnya berpakaian seperti tak cukup kain, singkat sampai menampakkan lengan, atau kaki. Ketat sampai menampakkan susuk badan, pinggang, punggung dan buah dada. Ada yang menanggalkan tudung terus. Ada pula yang bertudung seperti hidup segan mati tak mahu yang menampakkan rambut dan leher serta guntingan dada.
Kenapa hal ini berlaku kepada orang yang mendirikan solat ? Kenapa mereka tidak berfikir sedangkan mereka telah dididik dan diasuh dengan pengulangan solat sebanyak lima kali sehari? Berkemungkinan besar antara punca-puncanya ialah:

· Kurang penguasaan dan kefahaman ilmu-ilmu Islam yang mendalam dan menyeluruh, khususnya dalam ilmu-ilmu selain ibadat khusus. Kebanyakan umat Islam banyak menumpukan pembelajaran yang serius dalam soal taharah, wuduk dan solat. Adapun puasa, zakat dan haji dipelajari secara bermusim sahaja.

· Berlaku pemisahan secara tidak sedar antara ibadat khusus dan kehidupan seharian. Kebanyakan tingkah-laku masyarakat apabila dalam ibadat atau berada di masjid mereka boleh mengawal diri dan sedar sedang beribadat, sehingga jadi baik dan warak. Tetapi apabila selesai beribadat seperti solat atau di luar masjid mereka merasakan hubungan antara Allah s.w.t seakan-akan terputus. Keadaan ini mewujudkan jurang dan penghayatan aurat.

· Adat mengkhususkan pakaian solat. Masyarakat selain Melayu tidak tidak mengkhususkan pakaian solat. Mereka bersolat dengan pakaian harian mereka asalkan sahaja bersih. Tetapi, bebeza sekali di Asia Tenggara yang mengkhaskan pakaian untuk solat sejak turun-temurun. Adat ini asalnya baik dan terpuji, malah melambangkan masyarakat kita begitu prihatin. Mereka mahu yang bersih dan suci sahaja sewaktu mengadap Allah s.w.t. Tetapi dalam konteks yang lain, adat ini boleh membawa kerumitan dan salah faham dalam ibadat sehingga mereka merasakan pakaian solat dan pakaian harian itu semestinya berbeza. Lama kelamaan budaya ini telah mewujudkan pemisahan antara aurat dalam solat dan aurat ketika luar solat.

· Sikap ibu bapa mengasuh dan mendidik anak-anak secara longgar dan memandang mudah kewajiban aurat ketika ke luar rumah. Pembudayaan yang bermula sejak kecil ini telah membentuk idealogi dalam dirinya tentang perspektif aurat. Anak-anak itu telah mendewasakan dirinya dalam lingkungan yang tidak menitik beratkan aurat.

· Pemisahan peraturan aurat oleh pihak pemerintah. Di antara kesan besar kepada pendedahan aurat dan sukarnya menanganinya ialah peraturan-peraturan yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan seolah-oleh double standrad dan tidak menyeluruh. Contohnya di peringkat persekolahan, tidak semua sekolah mewajibkan pelajarnya bertudung. Jika sekolah mewajibkan pelajarnya bertudung, maka bertudunglah dia sewaktu ke sekolah, tetapi bagaimana pelajar itu di luar pagar sekolah. Tiada peraturan yang dikenakan atau mengawalnya. Kehidupan seumpama ini menimbulkan hipokrit dan mempersenda-senda agama. Malahan, akan mengelirukan remaja antara kebenaran dan kebatilan dan antara keseriusan dan main-main.

· Masyarakat turut membantu menimbulkan konflik ini. Masyarakat tidak serius dan betul-betul komitmen dengan penutupan aurat dengan sempurna. Mereka berani kelaur rumah dengan tanpa bertudung, atau memakai seluar yang ketat, atau baju berlengan pendek, atau baju tidak melepasi paras punggung dan bermacam gaya lagi. Lebih mengelirukan zaman mutkahir ini, perempuan yang bertudung, berseluar panjang ada yang ketat dan ada longgar, kemudian berbaju lengan pendek yang tidak menutup sampai ke pergelangan tangan. Kononnya gaya ini telah diiktiraf sebagai menutup aurat, lantas menjadi ikutan dan budaya masyarakat.

Enam sebab yang dibentangkan di atas merupakan jawapan kepada kenapa muslimah tidak berjaya menghayati falsafah menutup aurat dalam solat untuk turut diamalkan diluar solat. Bukanlah tulisan ini bermaksud supaya wanita keluar rumah memakai pakaian solatnya yang berwarna putih itu. Apa yang dikehendaki Islam ialah pendidikan solat itu adalah kegunaan harian kita. Sebagaimana tingkah-laku kita dalam solat, maka sewajarnya demikianlah perlakuan kita luar solat.
Al-Syarbini dari mazhab al-syafie telahpun menjalinkan hubungan menutup aurat dalam solat dengan luar solat dengan katanya; aurat itu ialah apa yang wajib ditutup dalam solat dan haram memandangnya. Justeru itu, kefahaman aurat itu hakikatnya berpandukan kepada kaedah-kaedah menutup aurat dalam solat. Jadi menutup aurat ketika solat itu sebenarnya pendidikan bagi menutup aurat luar solat.

Artikel ini telah disiarkan di dalam majalah Pengasuh Bil.603 oleh Mohd Azhar bin Abdullah(M.A Syariah, Uni. Malaya), Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS), Nilam Puri, Kelantan.

Tuesday, November 4, 2008

WANITA AHLI SYURGA

Syurga merupakan dambaan setiap insan. Di dalamnya terdapat bejana-bejana dari emas dan perak, istana yang megah dengan dihiasi beragam permata, dan berbagai macam kenikmatan lainnya yang tidak pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga, atau terdetik di hati.
Dalam Al Qur’an banyak sekali ayat-ayat yang menggambarkan kenikmatan-kenikmatan Syurga. Di antaranya Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :
Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!
(QS. Muhammad : 15)

Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), - yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); Mereka itulah orang-orang yang didampingkan (di sisi Allah), (Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu;Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka, - Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (QS. Al Waqiah : 10-21)

Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.
(QS. Al Waqiah : 22-23)


Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;
(QS. Ar Rahman : 56)

Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.
(QS. Ar Rahman : 58)

Kamu (wahai golongan yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu); [36]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? [37]Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;
(QS. Al Waqiah : 35-37)


Saudariku sekalian, inginkah kalian menjadi bidadari syurga sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt tadi?

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam menggambarkan keutamaan-keutamaan wanita penduduk Syurga dalam sabda beliau :
“ … seandainya salah seorang wanita penduduk Syurga menengok penduduk bumi niscaya dia akan menyinari antara keduanya (penduduk Syurga dan penduduk bumi) dan akan memenuhinya bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita Syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya.” (HR. Bukhari dari Anas bin Malik radliyallahu 'anhu)

Dalam hadits lain Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda :
Sesungguhnya isteri-isteri penduduk Syurga akan memanggil suami-suami mereka dengan suara yang merdu yang tidak pernah didengarkan oleh seorangpun. Di antara yang didendangkan oleh mereka : “Kami adalah wanita-wanita pilihan yang terbaik. Isteri-isteri kaum yang termulia. Mereka memandang dengan mata yang menyejukkan.” Dan mereka juga mendendangkan : “Kami adalah wanita-wanita yang kekal, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita yang aman, tidak akan takut. Kami adalah wanita-wanita yang tinggal, tidak akan pergi.” (Shahih Al Jami’ nombor 1557)


Ciri-Ciri Wanita Syurga


Apakah hanya orang-orang beriman dari kalangan laki-laki dan bidadari-bidadari saja yang menjadi penduduk Syurga? Bagaimana dengan isteri-isteri kaum Mukminin di dunia, wanita-wanita penduduk bumi? Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, diciptakan syurga untuk sekalian hambanya. Maka, kaum wanita termasuklah hamba-hambanya yang dijanjikan syurga seandainya menjadi muslimah yang solehah.

Isteri-isteri kaum Mukminin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya akan tetap menjadi pendamping suami kelak di Syurga dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan yang diperoleh penduduk Syurga lainnya, sesuai dengan amalnya selama di dunia.
Pada hakikatnya wanita ahli Syurga adalah wanita yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Seluruh ciri-cirinya merupakan cerminan ketaatan yang dia miliki.

Di antara ciri-ciri wanita ahli Syurga menurut Syaikhul Islam Ibnu Tamiyyah dalam kitab karangannya Majmu’ Fatawa adalah sebagaimana yang berikut:
· Bertakwa.
· Beriman kepada Allah, Malaikat-Malaikat-Nya, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk.
· Bersaksi bahwa tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadlan, dan naik haji bagi yang mampu.
· Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahwa Allah melihat dirinya.
· Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakkal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.
· Gemar membaca Al Qur’an dan berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah ketika bersendirian atau bersama banyak orang dan berdoa kepada Allah semata.
· Menghidupkan amar ma’ruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.
· Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternak yang dia miliki.
· Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.
· Berinfak, baik ketika lapang maupun dalam keadaan sempit, menahan amarah dan memaafkan manusia.
· Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.
· Menjaga lisannya dari perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).
· Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.
· Berbakti kepada kedua orang tua.
· Menyambung silaturahmi dengan kaum kerabatnya, sahabat terdekat dan terjauh.

Ciri-ciri tersebut bukan merupakan suatu batasan tetapi ciri-ciri wanita Ahli Syurga seluruhnya masuk dalam kerangka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah Ta’ala berfirman :
“ … dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar.” (An Nisa’ : 13)

Wednesday, October 29, 2008

Ingin mengenali tokoh-tokoh Ulamak Melayu?

Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2)
Penyelengggara: Ismail Che Daud
RM40.00/ 688 muka surat

Sebagai lanjutan kepada jilid 1 yang memuat biografi singkat tokoh-tokoh ulama’ yang bergiat dan meninggal dunia sebelum merdeka (31 Ogos 1957), maka jilid 2 ini pun memaparkan biografi ringkas tokoh-tokoh ulama’, tetapi semuanya yang meninggal dunia selepas merdeka. Bagi maksud menggenapkan bilangan tokoh di dalam buku jilid 2 edisi kedua ini kepada 40 orang serta bagi menggantikan dua orang tokoh yang dimansuhkan, kami memasukkan sejumlah 9 orang tokoh baru. Mereka ialah: Haji Yahya Kupang, Haji Husain Che Dol, Hj Abdullah Abbas Nassution, Haji Pak Man Bukit Besar, Sheikh Idris al-Marbawi, Haji Abdul Wahid Sungai Udang, Haji Wan Ali Al-Jambui, Haji Ghazali Bagan Datok dan Haji Ibrahim Bongek. Seorang tokoh ulama, iaitu Drs. Ab Ghani Azmi Idris ditambah di bawah tajuk `Dalam Kenangan' menjadikan jumlahnya seramai 5 orang. Sebanyak empat lampiran dimuatkan dengan merangkumi tajuk-tajuk berikut:Ulama' Muhajirin di Kelantan, Ulama' Kelantan di Rantau Orang, Ulama' Terkemuka Dari Jajahan Pasir Mas dan Daftar Kematian Ulama' 1957-2000 yang dikemaskini.
Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1)
Penyelengggara: Ismail Che Daud
RM30.00/ 280 muka surat


Buku yang menjadi sumber rujukan penting mengenai tokoh-tokoh ulama’ Melayu ini seharusnya dimiliki oleh semua orang. Buku yang sederhana ini memuatkan sekumpulan makalah mengenai riwayat hidup tokoh-tokoh ulama’ Islam di Semenanjung Melayu yang diusahakan oleh beberapa orang penulis yang berminat dalam sejarah tempatan. Hanya tokoh-tokoh yang bergiat dan meninggal dunia sebelum 31 Disember 1957 sahaja yang dipilih untuk jilid yang pertama ini. Penyusunannya dibuat menurut kronologi kematian tokoh-tokoh utama. Pada asalnya, makalah-makalah ini merupakan makalah yang diterbitkan dalam majalah Pengasuh, kemudian dikompilasikan menjadi sebuah buku yang senang dirujuk. Sehingga kini, buku ini telah diterbitkan sebanyak tiga edisi yang sentiasa memuatkan pembetulan dan fakta-fakta tambahan.

Tercari-cari buku tulisan jawi?


Asas Aqidah Islam (Jawi)
Penyusun: Ustaz Abdul Aziz Omar bin Ahmad
RM15.00/ 280muka surat


Buku ini khusus membicarakan bidang aqidah, iaitu suatu bidang yang sangat pokok dan utama dalam kehidupan setiap individu muslim. Ia dihuraikan dalam bahasa yang mudah difahami serta maksud yang jelas. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan untuk pengajian di masjid-masjid, madrasah-madrasah, surau-surau dan musalla-musalla. Kandungan buku ini sengaja disusun dalam bentuk yang sederhana serta menggunakan kaedah pendekatan yang jelas bagi maksud memudahkan para pembaca mengkaji persoalan aqidah yang biasanya ditulis dalam bahasa Melayu klasik yang rumit serta sukar difahami. Ia patut dimiliki oleh setiap individu agar dapat menjadi panduan dalam memantapkan aqidah sebagai muslim.
Buku ni boleh didapati terus daripada Unit Penerbitan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) ataupun di Syarikat Jaafar Rawas KB.